Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Khair Mohamad Yusof berkata, berdasarkan beberapa pencapaian memberangsangkan pelan pendidikan itu dalam tempoh dua tahun pertama pelaksanaannya, pihaknya yakin hasrat itu akan tercapai.
"Nadi kejayaan PPPM adalah guru-guru dan saya yakin dengan guru-guru yang hebat serta sokongan bersepadu semua pihak, aspirasi PPPM ini dapat direalisasikan," katanya semasa berucap pada majlis pembentangan Laporan Tahunan 2014, PPPM 2013-2025 di Dewan Kompleks Seri Bintang di sini, hari ini.
Khair berkata dalam tempoh dua tahun itu juga, kementerian sangat mengiktiraf peranan ibu bapa yang terlibat secara aktif dalam pendidikan anak-anak untuk meningkatkan kualiti pendidikan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa membentangkan laporan itu hari ini, berkata peningkatan kualiti dalam pendidikan antara lima inisiatif utama dicapai dalam tempoh dua tahun pertama pelaksanaan PPPM 2013-2025 dalam transformasi pendidikan negara.
Muhyiddin berkata, empat aspek lain adalah peningkatan akses kepada pendidikan berkualiti; ekuiti dalam pendidikan; memupuk perpaduan dalam pendidikan; dan mempertingkat kecekapan penyampaian pendidikan.
Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud pula berkata, inisiatif yang menekankan aspek peningkatan akses kepada pendidikan berkualiti seperti enrolmen prasekolah adalah usaha sangat baik untuk memartabatkan sistem pendidikan.
"Antara program lain yang mampu meningkatkan standard pendidikan negara adalah program LINUS 2.0 (program saringan literasi dan numerasi) yang memastikan penguasaan dwi bahasa dalam kalangan pelajar," katanya kepada pemberita selepas majlis itu.
Menurut laporan PPPM 2014, antara kejayaan yang dicapai adalah peningkatan enrolmen prasekolah daripada 81.7 peratus kepada 84.2 peratus hasil daripada usaha kementerian menyediakan pelbagai inisiatif dan insentif.
Menerusi program LINUS 2.0 pula, sebanyak 98.7 peratus murid Tahun Tiga berjaya menguasai literasi asas bahasa Melayu, 99 peratus menguasai numerasi asas dan 78.3 peratus murid Tahun Dua menguasai literasi asas bahasa Inggeris, daripada lebih sejuta murid yang melalui proses saringan. - Bernama